Yang hadir pada hari itu terdiri dari berbagai peringkat umur. Sekali lagi, Puan Hjh. Asiah Abd Hamid mencuri perhatian. Walaupun dengan bertongkat dan pergerakan yang agak perlahan, kehadiran Puan Hjh. Asiah nyata mencerminkan semangat serta komitmennya untuk menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh alumni ASMA. Beliau adalah rakan kita yang paling senior yang ada di majlis ini. Dari segi kehadiran juga didapati bilangan yang hadir dari batch yang tertentu agak ramai kerana initiatif yang diambil oleh bekas pelajar ASMA dari kumpulan itu untuk menggalakkan rakan-rakan sebaya turut serta di majlis ini. Di antara yang hadir terdapat juga mereka yang menghadiri aktiviti alumni untuk pertama kali. Kehadiran mereka tentunya sangat dialu-alukan kerana ia dapat meluaskan jaringan perkenalan dan persahabatan di antara bekas pelajar ASMA.
Aturcara majlis “Raya Get Together” dimulakan dengan pendaftaran kehadiran pada jam 2.30 petang. Beberapa urusan berlangsung pada sesi pendaftaran. Ruang Legar Hotel Sri Malaysia agak sibuk dan penuh sesak dengan rakan-rakan bekas pelajar ASMA. Ada yang nak jelas bayaran penyertaan jamuan, ada yang belum jadi ahli nak daftar jadi ahli. Ada juga yang belum jelas yuran keahlian tahunan, nak jelas yuran tahunan. Ada juga jualan pelekat kereta untuk isi tabung persatuan. Gamat juga keadaannya. Maklumlah bila bertemu rakan-rakan yang telah sekian lama tak berjumpa; suasananya tentu penuh dengan excitement, macam-macam yang nak dicerita.
Selesai pendaftaran, semua hadirin memasuki Dewan Café untuk menikmati jamuan. Pelbagai jenis makanan dari Menu Syawal Hotel Sri Malaysia telah dihidangkan. Kuantitinya pula memang banyak; makanan cukup “ jenoh” kata orang Kedah. Komen ramai menyatakan makanan yang dihidang rasanya sedap. Pujian dan terima kasih kepada Pengurusan Hotel Sri Malaysia Alor Star.Waktu makan diselingi dengan penceritaan kisah-kisah yang menjadi kenangan semasa persekolahan oleh beberapa orang bekas pelajar ASMA. Kisah-kisah yang dikongsi sungguh menarik dan ada yang telah menimbulkan gelak ketawa. Di samping itu ada juga aktiviti Cabutan Bertuah. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada beberapa orang bekas pelajar ASMA serta sahabat-sahabat Persatuan Bekas Pelajar yang telah sudi menaja hadiah-hadiah bagi menjayakan aktiviti ini. Tahniah kepada mereka yang telah berjaya memenangi hadiah-hadiah yang disediakan.
Perjumpaan “Raya Get Together” berakhir pada jam 5.30 petang. Sepanjang tempoh majlis ini berlangsung mereka yang hadir telah memenuhi masa berbual-bual dengan rakan-rakan lama yang jarang-jarang dapat ditemui. Mereka berbual sejak mula tiba, terus pada waktu makan sehingga selesainya majlis. Sememangnya tujuan perjumpaan ini dianjurkan bagi membolehkan rakan-rakan bekas pelajar ASMA berjumpa teman-teman lama dan mengukuhkan silaturrahim di antara mereka dan meluaskan jaringan kenalan dan persahabatan dengan mereka dari alumni yang sama. Majlis “Raya Get Together” mencapai hasrat ia diadakan. Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua bekas pelajar ASMA yang telah meyertai perjumpaan kita. Sokongan dan penyertaan rakan-rakan sekelian telah menjayakan majlis “Raya Get Together” kita. Semoga kita dapat bertemu pula pada reunion yang lain di masa hadapan.
Nukilan rasa:-
Cik Nasriah Maghribi
Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA
No comments:
Post a Comment