Sunday, May 24, 2009

Hari Anugerah Cemerlang SMKSA


Pada 12hb Mei 2009, SMKSA telah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang bertempat di Dewan sekolah. Majlis tersebut telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah.

Seramai 74 orang pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya 8A1 ke atas di dalam peperiksaan SPM 2008 telah menerima hadiah dari DYMM Tuanku Sultanah. 28 orang pelajar darinya juga adalah penerima di dalam Keputusan Cemerlang SPM.

Seramai 130 orang pelajar adalah penerima hadiah Keputusan Cemerlang PMR. Adik Siti Maisarah Zaini (lihat gambar di sebelah kiri) adalah pemenang Anugerah Khas SPM bagi tahun 2008 dan juga penerima Pingat Emas Limpah Kurnia Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah. Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA telah bermurah hati memberi sumbangan sebanyak RM1,000 di atas kejayaan beliau.

Pada tahun ini, Profesor Dr. Zainuriah bt Hassan telah dijemput untuk mewakili bekas pelajar menyampaikan ucapan di Hari Anugerah Cemerlang ini. Setiap tahun Persatuan memilih seorang bekas pelajar yang telah berjaya dalam apa-apa bidang yang diceburi untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk mencapai kejayaan.

Profesor Dr. Zainuriah Hassan adalah juga bekas penerima Pingat Emas Kurniaan Kebawah DYMM Tuanku Sultan bagi keputusan terbaik peperiksaan Malaysia Certificate of English (MCE) tahun 1978 yang dikenali sebagai SPM sekarang. Beliau sekarang bertugas di Universiti Sains Malaysia sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Pusat Pengajian Sains Fizik. Teks ucapan beliau dilampirkan untuk memberi inspirasi kepada kita semua. Beliau juga adalah penerima Hadiah Khas di majlis tersebut.

Sebagai tanda terima kasih dari Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA di atas kesudian Profesor Dr Zainuriah (lihat gambar di sebelah kiri) meluangkan masa hadir ke majlis Anugerah Cemerlang SMKSA, beliau telah diraikan dalam satu majlis makan tengahari yang telah diadakan di Regency Hotel, Alor Setar. Semoga Profesor Dr Zainuriah menjadi idola pelajar SMKSA di atas kecemerlangan beliau di dalam bidang akademik.



Rehlah Di Cameron Highlands



Pada 8 & 9hb Mei yang lalu, seramai 18 orang ahli rombongan bekas pelajar KBGS/SMSA veteran dan muda telah berkunjung ke Cameron Highlands. Bertolak dari Sekolah Menengah Kebg. Sultanah Asma pada pukul 7 pagi melalui Simpang Pulai dan sampai di Cameron Highlands pada pukul 2.30 petang.



Singgah sarapan pagi di Bertam rumah ibu bekas pelajar Norzalifah Abd. Wahab iaitu Puan Johara Bee. Ucapan ribuan terima kasih kepada Puan Johara Bee.

Bermalam di Apartment Arthuriam dan melawat ke Rose Garden, Bharatt Tea House, Vegetables Gardens, Pasar malam hari Jumaat dan lain-lain. Bunga Ros dan sayur-sayuran diborong bawa balik sampai keletihan tapi seronok.







Saturday, May 23, 2009

Seruan untuk Berbakti Kepada Alma Mater


Rayuan sumbangan derma dari bekas-bekas pelajar SMSA untuk mengisi Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA. Di lampirkan surat rayuan daripada Pengerusi Persatuan buat bekas-bekas Pelajar yang dikasihi sekalian.




Gambar dibawah menunjukkan resit yang akan dikeluarkan di atas sumbangan anda. Semua sumbangan anda akan dikecualikan daripada Cukai Pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 mengikut jumlah pendapatan penderma.


Klinik Sehari




Di antara aktiviti yang telah dijalankan oleh Persatuan ini ialah dengan mengadakan Klinik Sehari. Klinik Sehari anjuran Persatuan ini telah diadakan di pekarangan SMK Sultanah Asma untuk guru-guru, pekerja asrama, penghuni-penghuni asrama dan pelajar-pelajar pada hari Jumaat, 11 Julai 2008 yang lalu.



Sebelum Klinik diadakan sebuah ceramah bertajuk “Pemakanan Seimbang” disampaikan di Dewan Sekolah oleh seorang pegawai dietetic bernama Puan Nur Ira Fadzlyna Md. Jalil yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah yang juga merupakan bekas pelajar SMK Sultanah Asma. Turut menyampaikan ucapan ialah Dr. Fitriah yang juga merupakan AJK Persatuan ini. Keseluruhannya, sambutan amat menggalakkan.