Tuesday, March 23, 2010

Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar Yang ke 20


Seperti yang dijadualkan, Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SMSA kali ke 20 berlangsung dengan sempurna pada 13 Mac 2010 bersamaan 27 R’awal 1431 di Bilik Mesyuarat SM Kebangsaan Sultanah Asma. Daripada 300 notis mesyuarat yang dikirim kepada ahli hanya 38 ahli yang dapat melapangkan masa menghadiri mesyuarat. Walau bagaimanapun bilangan ahli yang hadir memenuhi kehendak korum mesyuarat seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan persatuan. Persatuan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ahli-ahli yang hadir bagi menjayakan mesyuarat agung kita. Penghargaan khas dirakamkan untuk Puan Hajah Asiah Abd Hamid seorang ahli persatuan yang cukup senior. Untuk makluman, Puan Hjh. Asiah lebih suka dengan panggilan sebagai Mak Siah. Saya lebih selesa dengan panggilan Kak Siah memandang kepada perbezaan umur di antara saya dengan dia. Beliau adalah Ahli Seumur Hidup dan bekas pelajar dari kumpulan KBGS. Dia kini berusia 80 tahun . Keadaan fizikalnya kini tidak begitu mengizinkannya untuk bergerak dengan bebas dan pantas. Beliau perlu bergantung kepada tongkat bagi membolehkannya bergerak dengan perlahan-lahan dan agak sukar baginya untuk ke tempat yang bertangga. Namun demikian kerana semangat dan ingatannya kepada persatuan beliau membuat keputusan untuk “gagah mai hadir” ke mesyuarat dengan pertolongan dari rakan-rakan ahli yang rapat dengannya. Kebetulan pula mesyuarat agung ke 20 ini telah diadakan di bangunan yang memerlukannya berjalan dari kawasan letak kereta sejauh 40 meter dan menaiki tangga. Tentu sukar baginya; namun dengan penuh sabar azam yang kuat segala kesusahan telah dilaluinya dan beliau berjaya sampai ke tempat mesyuarat bersama-sama dengan ahli-ahli yang lain. Syabas Kak Siah!


Untuk makluman semua ahli, Ahli jawatankuasa persatuan yang dipilih bagi tahun 2010-2011 sama dengan AJK tahun 2009-2010. Jadi nampaknya Jawatankuasa yang baru dipilih terdiri daripada muka-muka yang lama. Apa nak buat! Ini keputusan sebulat suara. Bukankah lebih baik jika muka-muka yang baharu dapat mengganggotai jawatankuasa supaya ada fikiran baru yang dapat membawa kelainan pada aktiviti persatuan. Lihatlah kepimpinan baru Negara kita yang telah membawa pembaharuan – model Ekonomi Baru. Ha! Ha! Ha!
Semoga pada Mesyuarat Agung di masa hadapan lebih ramai ahli dapat hadir. Kehadiran ahli-ahli di mesyuarat agung amatlah dialu-alukan supaya kita dapat sama-sama berbincang untuk kebaikan persatuan kita.


HAJAH NASRIAH HJ. MAGHRIBI
Pengerusi
Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA