Saturday, April 24, 2010

HARI ANUGERAH CEMERLANG SMKSA 2010




Hari Anugerah Cemerlang SM Kebangsaan Sultanah Asma bagi tahun 2010 telah diadakan pada hari Isnin 12 April 2010. Majlis yang gilang gemilang ini telah berlangsung di Dewan Besar sekolah. Pada hari berkenaan Dewan Besar sekolah kita yang sudah berusia 54 tahun itu telah dihias indah dengan langsir serta bunga-bungaan serta lain-lain hiasan. Dewan kelihatan sungguh berseri-seri pada hari berkenaan. Tentunya guru-guru dan murid-murid telah berkorban banyak masa dan tenaga untuk membuat segala persiapan.


Seperti pada tahun-tahun lalu, VIP di majlis Hari Anugerah Cemerlang ini ialah Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan Kedah. Keberangkatan Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang SMK Sultanah Asma merupakan tradisi yang menjadi kebanggaan pelajar-pelajar SMSA dahulu dan sekarang. Biasanya Ke Bawah DYMM Tuanku Sultanah turut berangkat sama ke majlis ini, tapi dalam Majlis Hari Anugerah Cemerlang kali ini Ke Bawah DYMM Tuanku Sultanah tidak dapat berangkat bersama. Apabila ke Bawah DYMM Tuanku Sultan dan Ke bawah DYMM Tuanku Sultanah berangkat bersama-sama, Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan akan menyampaikan titah ucapan sementara Ke Bawah DYMM Tuanku Sultanah pula akan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang. Jadi dalam majlis Hari Anugerah Cemerlang pada tahun ini Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan telah menyempurnakan kedua-dua tugas ia itu melafazkan titah ucapan dan juga menyampaikan hadiah-hadiah. Bilangan penerima hadiah daripada Ke bawah DYMM Tuanku Sultan berjumlah 250 orang semuanya. Pelajar terbaik dalam Peperiksaan SPM 2009 dan telah memenangi hadiah wang tunai RM 1000 daripada Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SMSA ialah Wan Suzzana Maria bt. Wan Ahmad Kamal. Tahniah Wan Suzzana.


Persatuan Bekas Pelajar SMSA menjunjung kasih kepada Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan di atas limpah perkenan menyampaikan hadiah-hadiah.
Selaras dengan tradisi juga, di Majlis Anugerah Cemerlang wakil alumni juga telah menyampaikan ucapan. Kali ini pihak alumni SM Sultanah Asma telah diwakili oleh Professor Dr Nor Hayati bt. Ahmad dari College Of Business, Universiti Utara Malaysia. Dalam ucapannya Dr. Nor Hayati menyentuh tentang zaman persekolahannya di SAS. Yang pastinya nama Miss Lee Paik Lin kekal dalam kenangannya sebagai guru yang amat berjasa dalam membolehkannya menguasai bahasa Inggeris. Semua X SAS yang menuntut di SAS sekitar tahun enam puluhan hingga tujuh puluhan tentu akan mengenang jasa Miss Lee. Professor Dr Nor Hayati juga, dalam ucapannya, telah mencerita tentang pengalaman pengajian dan kerjayanya selepas tamat persekolahan di SMSA yang boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada pelajar-pelajar SMSA hari ini dalam usaha mencapai kecemerlangan. Syabas Dr. Nor Hayati. Terima kasih kerana mewakili alumni SMSA.


Setelah selesai penyampaian hadiah Majlis Hari Anugerah Cemerlang, tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh pelajar-pelajar dengan iringan kombo SMK Sultanah Asma. Hebat sungguh bakat pelajar- pelajar SMK Sultanah Asma. Tahniah kepada Pengetua dan semua warga SMK Sultanah Asma di atas kejayaan majlis Hari Anugerah Cemerlang 2010.



HAJAH NASRIAH HJ. MAGHRIBI
Pengerusi
Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA