Monday, April 20, 2009

Objektif Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA

Mengikut Perlembagaan, antara objektif Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SM Sultanah Asma ialah:

1. Untuk menggalakkan persahabatan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli.

2. Untuk memberi bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dalam hal-hal meneruskan pengajian mereka dan pada umumnya untuk memajukan kepentingan dan kemajuan sekolah.

3. Untuk menggalakkan penyaluran kemudahan kepada kemajuan fizikal, intelek dan sosial ahli-ahlinya dan menggalakkan kesejahteraan ekonomi persatuan ini.

4. Untuk menggalakkan perhubungan serta persefahaman yang erat dengan
persatuan lain yang mempunyai matlamat dan tujuan yang sama,

Selaras dengan objektif di atas, Jawatankuasa Persatuan telah merancang dan melaksanakan beberapa aktiviti yang difikirkan sesuai dengan matlamat persatuan.

Untuk tujuan menggalakkan persahabatan dan perpaduan, aktiviti berikut telah dijalankan :-

i. mengadakan majlis-majlis reunion tahunan,
ii. mengadakan aktiviti dan majlis sambutan ulang tahun Sekolah Menengah SultanahAsma yang ke -75, ke -80 dan Sambutan 50 Tahun ASMA di Derga,
iii. menganjurkan rombongan belajar sambil melawat serta
iv. menziarahi bekas guru dan rakan-rakan pelajar.

Untuk kepentingan pendidikan, Persatuan telah memberi bantuan berupa:-

i. Tajaan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR.

ii. Bantuan kewangan yuran sekolah, yuran peperiksaan serta yuran pendaftaran IPTA.

iii. Hadiah wang tunai kepada pelajar cemerlang SPM.

iv. Bantuan wang tunai kepada 30 orang pelajar SMK Kota Kuala Muda yang terlibat dalam bencana tsunami.

v. Tajaan surat khabar NST di bawah ‘School Sponsorship Programme’ bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di SMK Mergong, SMK Jabi dan SMK Sanglang.

vi. Sumbangan wang kepada Pasukan Pancaragam SMKSA bagi membiayai kos pembelian alat-alat serta tambang perbelanjaan ke Itali dan Beijing.

vii. Sumbangan wang untuk menaik taraf Kafetaria Sekolah.


Selain aktiviti di atas, Persatuan telah mengambil inisiatif untuk bergerak secara aktif dalam aktiviti amal dan khidmat masyarakat seperti berikut:


i. Menjalankan khidmat masyarakat melalui Program Klinik Sehari yang melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubat percuma kapada penduduk di kawasan-kawasan PPRT di luar bandar. Aktiviti lain yang dijalankan di bawah program ini ialah pemeriksaan payu dara serta ujian pap smear. Sehingga kini, Program Klinik Sehari ini telah dilaksanakan di 45 kawasan PPRT di luar bandar.

ii. Memberi bantuan kewangan kepada mangsa bencana alam seperti banjir dan
tsunami.

Semua aktiviti di atas telah dapat dijayakan dengan bantuan kewangan dan sokongan moral daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan, bekas-bekas pelajar, dan agensi-agensi kerajaan yang tertentu.

Sesungguhnya program yang telah dilaksanakan oleh Persatuan telah memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dan terlibat secara langsung. Selain itu, aktiviti amal dan kebajikan di atas juga boleh dianggap sebagai peluang dan saluran kepada bekas-bekas pelajar Sekolah Menengah Sultanah Asma untuk menabur bakti kepada masyarakat serta alma mater yang telah banyak berjasa kepada kita semua. Ditinjau dari kedua-dua sudut ini, Persatuan berhasrat untuk meneruskan aktiviti yang telah dijalankan selama ini.

Untuk membiayai program kebajikan dan pendidikan secara berterusan, pihak Persatuan telah mewujudkan Tabung Kebajikan dan Pendidikan pada tahun 2006 bagi mengumpul dana supaya program amal persatuan dapat dibiayai. Sebagai salah satu langkah utama untuk mengisi Tabung Kebajikan dan Pendidikan ini, Persatuan bercadang untuk menghubungi bekas-bekas pelajar agar dapat menyumbang RM 10.00 seorang kepada Tabung ini. Sumbangan kepada Tabung ini juga sekali gus membuka peluang kepada bekas-bekas pelajar untuk turut terlibat dalam sumbangan bakti kepada masyarakat serta alma mater.

Oleh itu marilah kita sama-sama menyahut seruan Persatuan dan bermurah hati menyumbang RM 10.00 kepada Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Perempuan Kampong Baharu/ Sekolah Menengah Sultanah Asma. Semoga dengan sokongan padu daripada bekas-bekas pelajar, kita dapat mewujudkan satu dana Tabung yang kukuh untuk membiayai program kebajikan dan pendidikan demi kepentingan kebajikan dan pendidikan masyarakat.

Saturday, April 18, 2009

Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA 2009/2010




Barisan Hadapan Dari Kiri

Azizah bt. Ahmad, Rokiah bt. Saad, Datin Siti Faridah Ismail, Nasriah bt.Maghribi, Che Hasnah bt. Abdullah, Sharifah Munirah bt. Syed Ahmad, Che Sam bt. Salleh

Barisan Belakang Dari Kiri

Dr Fitriah Mahadzir, Mazlina bt. Abdul Hamid, Nadziatul Shazwani bt. Noor Aman, Melody Ooi Phaik Lian, Khatijah bt. Hassanar, Marshida bt. Mokhtar, Azizah bt. Ab. Aziz, Fuzeyah Che Long

Monday, April 6, 2009

Terima Kasih Sekolahku (Sultanah Asma School)

Aku anak didikmu dari dua zaman
Kampung Baharu ke Jalan Derga
Dari istana indah bersejarah
Ke bangunan baru serba lengkap
Masih terukir dalam ingatan
Mrs Park, Miss Hale, Miss Knowles
Dan Mrs Poh

Di halamanmu
kulalui jalan-jalan kemanisan
hidup remaja riang ria
tenang menerima segala ilmu
dibekalkan oleh para guru berdedikasi
menuju mercu kejayaan

Kau menyediakan aku menghadapi cabaran
kau mengajarku makna ketabahan
menghadapi perit dan ujian
makna harga diri
dan kegigihan

Majulah sekolahku
memberi tapak persediaan
pada pelapis mendatang
teruskan tugasmu yang cemerlang
baktimu tetap dalam kenangan
kau sebenarnya seorang IBU
kejayaan anak-anak adalah kejayaanmu!


Dato' Professor Dr. Siti Hawa Haji Salleh (1952-1958)
Head Prefect 1958

Sejarah Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA

Sejarah awal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Perempuan Kampong Baharu/Sekolah Menengah Sultanah Asma agak sukar dipastikan setakat ini. Hasil rujukan daripada majalah PUTERI, majalah rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma menunjukkan bahawa Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA ini telah wujud sejak tahun lima puluhan lagi. Pada ketika itu, Persatuan Bekas Pelajar ini dikenali dengan nama The Kampong Baharu Old Girls Association. Daripada laporan-laporan tahunan Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA yang terdapat di dalam majalah PUTERI, beberapa maklumat berkaitan dengan sejarah Persatuan telah diperolehi. Antara fakta yang diperolehi ialah nama-nama bekas Pengerusi Persatuan pada masa lalu serta nama bekas-bekas pelajar yang telah menyampaikan ucapan mewakili Persatuan di majlis-majlis Hari Penyampaian Hadiah sekolah ini.

Nama-nama Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA
1958-1959 Dr Salma bt Ismail (Tan Sri)
1960 Pn. Wan Saleha bt Wan Din
1961 Datin Hjh Noorulkiah bt Hj Laidin
1987-1997 Cik Hjh Kalsom bt Ismail
1998- Kini Cik Hjh Nasriah bt Hj Maghribi

Satu lagi maklumat yang diperolehi daripada majalah tersebut ialah Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA telah menganggotai Lembaga Pengelola Selolah. Selain itu, bekas-bekas pelajar telah dijemput untuk menyampaikan ucapan di Majlis Hari Penyampaian Hadiah. Teks ucapan mereka juga dimuatkan dalam majalah sekolah. Amalan menyampaikan ucapan masih diteruskan sehingga ke hari ini. Antara yang pernah menyampaikan ucapan pada masa lampau ialah Allahyarhamah Datin Hjh Noorulkiah bt Hj Laidin. YTM Tunku Kutam, Toh Puan Siti Aznur Willis, Cik Fatimah Rautin, Cik Hjh Kalsom bt Ismail dan Cik Hjh Nasriah bt Hj Maghribi.

Persatuan ini didapati tidak aktif sejak pertengahan tahun enam puluhan. Walaubagaimanapun, hasil usaha Puan Hjh Noraini Mahmud pada awal tahun lapan puluhan, Persatuan ini telah didaftarkan semula pada 28hb Februari tahun 1984 dengan nombor pendaftaran 230/84 dan terus bergerak hingga ke hari ini.