Monday, November 7, 2011

Gambar2 di sekitar majlis Jamuan Mesra














Untuk melihat lebih banyak gambar di sekitar Jamuan Mesra klik link ini:
http://bit.ly/jamuanmesra

Saturday, September 24, 2011

Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin

Persatuan dengan segala sukacitanya menjemput cik/puan ke majlis Bacaan Yassin dan Tahlil untuk Puan Hajah Asiah bt Abd Hamid dan rakan-rakan kita yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis akan diadakan pada hari Khamis, 29hb September 2011 pada jam 3 petang bertempat di Surau Al Falah, Taman Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah. Kehadiran ahli-ahli Persatuan amatlah dialu-alukan. Sekian. Terima Kasih


Perhatian: Solat Asar akan disempurnakan selepas Tahlil.

Saturday, September 17, 2011

Jemputan ke Majlis Jamuan Mesra 2011





Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Perempuan Kampong Baharu/ Sekolah Menengah Sultanah Asma akan mengadakan Majlis Jamuan Mesra 2011. Butir-butir lanjut perjumpaan ini adalah seperti berikut:

Tarikh :29 Oktober 2011
Hari : Sabtu
Jam : 2.30-5.30 petang
Tempat: Café Hotel Seri Malaysia, Alor Star
Bayaran: RM 25.00

Semua AHLI Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SM Sultanah Asma dijemput untuk menyertai perjumpaan ini. Mereka yang ingin turut serta bolehlah menghubungi mana-mana ahli jawatankuasa yang disenaraikan di bawah untuk pembelian kad mulai tarikh 20hb September hingga tidak lewat daripada 15hb. Oktober 2011.

1. Nasriah Hj. Maghribi - 019 3677116
2. Datin Siti Faridah Ismail - 012 4723320
3. Datin Che Hasnah Abdullah - 019 4410178
4. Cik Monirah Saad - 019 4163300
5. Pn. Rokiah Saad - 013 4413400
6. Pn. Fuzeyah Che Long - 017 4893152
7. Pn. Azizah Ahmad - 019 5642809
8. Khatijah Hassanar - 012 4233347
9. Pn. Azizah Aziz - 019 4501202
10. Pn. Noordini Md. Noor - 012 4751462
11. Pn. Mazlina Abd. Hamid - 013 5901580

Persatuan amat mengalu-alukan penyertaan puan-puan bagi memeriahkan perjumpaan ini. Semoga perjumpaan ini akan memberi kesempatan untuk kita bertemu serta beramah mesra sesama kita.

Terima kasih.

Yang benar,

Hjh. Nasriah Hj. Maghribi
Pengerusi
Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA

Sunday, August 28, 2011

Lawatan Ke Bandar Warisan Taiping dan Bandar Diraja Kuala Kangsar.



Alhamdulillah, lawatan ke Bandar Warisan Taiping dan Bandar Di Raja Kuala Kangsar dapat direalisasikan pada 24 dan 25hb Jun 2011. Lawatan ini merupakan aktiviti yang dijayakan bersama Majlis Perbandaran Sg. Petani. Seramai 27 orang Bekas Pelajar ASMA dan 24 orang staf MPSP telah menyertai lawatan ini. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sg. Petani kerana bersetuju membenarkan staf MPSP menyertai lawatan ini. Penyertaan staf MPSP telah meramaikan penyertaan dan menjalinkan jaringan perkenalan dan persahabatan di antara kedua-dua pihak.


Pada 24 Jun 2011 peserta-peserta lawatan Bekas Pelajar ASMA, seramai 27 orang telah bertolak dari perkarangan SMK Sultanah Asma pada jam 7.45 pagi dengan menaiki bas. Dalam perjalanan, bas telah singgah di Tol Sg. Petani Utara untuk mengambil staf MPSP. Setelah selesai urusan di sini, bas lawatan meneruskan perjalanan. Destinasi lawatan yang pertama ialah Kilang Sweet Touch di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah. Kilang ini membuat barang-barang tembikar. Rombongan yang tiba di sini kira2 jam 10.00 pagi telah disambut mesra oleh pengurusnya Puan Rohana Abd. Rahman. Peserta-peserta telah dibawa melihat aktiviti yang sedang berjalan dalam kilang dan diberi penerangan tentang proses menghasilkan barang-barang tembikar. Setelah mendengar taklimat peserta lawatan telah dibawa melihat barangan yang telah siap di ruang pameran dan jualan. Di sini peserta-peserta cukup teruja melihat kualiti barangan tembikar yang cukup cantik dan menarik serta halus perbuatannya. Oleh kerana cantik dan menarik, ramai di antara peserta lawatan yang membeli barang-barang yang diminati mereka sebagai cenderamata kenang-kenangan dan hadiah untuk rakan-rakan.




Lawatan di sini mengambil masa satu jam. Sebelum bertolak peserta lawatan telah diraikan dengan jamuan ringan. Di samping tertarik dengan barangan keluaran Sweet Touch, semangat dan keazaman Pengurusnya, Puan Rohana, sebagai seorang usahawan juga boleh menjadi pengajaran kepada peserta lawatan. Daripada ceritanya, kita dapati bagaimana ancaman kemelesetan ekonomi pertengahan tahun 80an telah dijadikan sebagai peluang untuk menceburi satu bidang yang hari ini telah menjadikannya sebagai seorang usahawan yang berjaya.







Dari Kuala Ketil, bas rombongan terus ke destinasi selanjutnya ia itu Taiping. Setelah lebih kurang 2 jam perjalanan, bas tiba di Bandar Warisan Taiping pada pukul 12.30 tengahari. Sesuai dengan ketikanya, perkara yang diberi keutamaan ialah makan tengahari. Lagi pun ketetapan telah dibuat supaya urusan makan tengahari diselesaikan sebelum daftar masuk di tempat penginapan. Setelah berfikir nak makan di mana, Restoran Asam Pedas menjadi pilihan. Semua kata makanan sedap dan menyelerakan, Selesai makan peserta lawatan menaiki bas semula untuk ke Taiping Golf Resort, tempat penginapan. Lega rasanya bila selesai pendaftaran di tempat penginapan. Setelah sekian lama berjuntai kaki, dapatlah belunjur pula, berehat menghilangkan letih sebelum meneruskan dengan aktiviti selanjutnya.



Pada jam 3 petang, seperti yang telah dijadualkan, peserta lawatan dari bekas pelajar ASMA, berkumpul di lobby Taiping Golf Resort untuk perjumpaan dengan seorang bekas guru SM Sultanah Asma ia itu Miss Ooi Swee Lee ( namanya seperti yang dikenali semasa bertugas di SM Sultanah Asma dalam tahun 60han). Ikut rancangan awal, bekas-bekas pelajar SMSA akan berkunjung ke rumah Miss Ooi, tetapi Miss Ooi telah memutuskan untuk datang bertemu dengan bekas pelajar di Taiping Golf Resort. Beliau memilih untuk berbuat demikian kerana katanya lebih mudah untuk beliau datang ke Taiping Golf Resort daripada pelajarnya pergi mencari rumahnya dengan bas. Teserlah sifat seorang guru yang perihatin dan sentiasa bertindak sebagai pemudahcara. Perjumpaan dengan Miss Ooi telah berlangsung selama lebih satu jam di Coffe House Taiping Golf Resort. Sambil meminum, sesi perjumpaan ini tentunya dipenuhi dengan berbagai cerita kenangan semasa Miss Ooi berkhidmat di SAS. Pertemuan ini memenuhi program alumni untuk menjejaki bekas-bekas guru SAS yang telah menabur bakti kepada SM Sultanah Asma di masa-masa lalu. Tentunya perjumpaan ini amat bermakna kepada mereka yang pernah menjadi murid kepada Miss Ooi. Buah manggis yang dibawa oleh Miss Ooi sebagai buah tangan untuk berjumpa dengan pelajar SM ASMA akan menjadi kenangan manis kepada mereka. Saya yakin Miss Ooi juga menghargai pertemuan ini. Perasaan beliau bolehlah disimpulkan daripada kenyataan berikut yang terbit dari mulutnya “You all made my day today".




Aktiviti lawatan seterusnya ialah kunjungan ke Kuala Sepetang atau nama lamanya Port Weld. Dalam sejarah kita kenali Port Weld kerana landasan keretapi pertama yang dibina di Tanah Melayu ialah di antara Taiping dan Port Weld. Tapi hari ini Kuala Sepetang dikaitkan dengan Mee Udang. Tentunya apabila sampai di Kuala Sepetang, peserta rombongan ingin merasa Mee Udang, yang gah diperkatakan. Tidak semua peserta lawatan memilih untuk makan mee udang. Sedap atau tak sedap adalah pendapat individu. Tapi bagi yang makan tentu akan setuju yang sepinggan mee udang cukup mengenyangkan kerana kuantitinya yang agak banyak. Malah ada peserta lawatan yang memberi sebahagian daripada mee udang dari pinggannya kepada pelanggan remaja yang ada di meja berhampiran. Selesai makan mee udang, bas rombongan bergerak balik ke Taiping.






Sebelum kembali ke tempat penginapan, peserta-peserta lawatan telah membuat lawatan ke Taiping Night Safari, salah satu tarikan pelancung di Bandar Taiping.. Bagi setengah peserta inilah kali pertama dapat berkunjung ke Night Safari, Apa pun ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Lawatan ke Night Safari mengakhiri program jadual lawatan hari pertama yang agak begitu padat dan meletihkan.


Pada 25 Jun 2011 sebelum meninggalkan Bandar Warisan Taiping, peserta-peserta lawatan telah bersarapan di Coffee House Taiping Golf Resort. Pelbagai pilihan makanan disediakan, Peserta-peserta lawatan puas hati dapat menikmati sarapan yang menyelerakan. Pada jam 8.30 pagi rombongan pelawat telah mengucapkan Selamat Tinggal kepada Taiping Golf Resort dan bertolak ke Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Setiba di Bandar Diraja Kuala Kangsar, tempat pertama yang dikunjungi ialah Galeri Sultan Azlan Shah. Bas rombongan tiba di Galeri Sultan Azlan Shah jam 9.30 pagi dan disambut oleh Pengurus Galeri, Puan Noorjanati Ibrahim.. Setelah taklimat ringkas di hadapan Galeri, peserta lawatan dibawa masuk ke dalam Galeri. Selama satu jam lebih Pengurus Galeri telah menghabis masa mengiringi peserta rombongan ke setiap ruang Galeri, memberi penerangan dan menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan sabar dan tenang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Noorjanati kerana melayan peserta-peserta lawatan dengan penuh mesra. Sebagai bekas guru kepada Puan Noorjanati, saya suka mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam menghadapi tugas di hari muka. Saya rasa amat bersyukur dan bahagia dapat bertemu dengannya yang kini sudah dewasa dan berjaya dalam kerjayanya.






Dari galeri Sultan Azlan Shah, bas yang membawa peserta lawatan telah bergerak ke Kilang Kicap Tamin yang terletak di Km 40 Jalan Ipoh. Di Kilang Kicap Tamin, peserta-peserta telah dibawa ke bangunan kilang dan diberi taklimat tentang proses membuat kicap oleh pegawai yang bertanggungjawab. Peserta-peserta juga diberi penerangan tentang penyediaan teowchew. Selesai mendengar taklimat peserta-peserta lawatan dapat pula melihat barang-barang keluaran Syarikat Tamin yang dipamerkan dalam sebuah bilik. Oleh kerana barang-barang ini juga boleh dibeli, peserta-peserta lawatan telah membeli barang seperti kicap dan barang-barang lain yang dikeluarkan oleh Kilang Kicap Tamin. Paling diminati oleh peserta lawatan ialah pek 3 botol kecil kicap yang comel, dengan 3 perasa untuk dibawa pulang . Oleh kerana permintaan yang tinggi, stok barang tidak mencukupi dan ramai juga peserta lawatan yang kecewa kerana tidak dapat membeli. Rupa-rupanya kicap pun boleh menarik minat.


Dari Kilang Kicap Tamin, bas telah bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ke perkampungan labu Sayong di Enggor. Aktiviti membuat labu Saiong dilakukan oleh oang-orang yang tinggal di sini. sebagai satu industri yang menjadi tarikan pelancong di Kuala Kangsar. Di sini peserta-peserta lawatan telah berpeluang melihat berbagai bentuk labu dan pelbagai saiz. Sudah tentunnya rupa bentuknya yang cantik dan menarik. telah menawan hati peserta lawatan untuk membeli. Tak hairanlah terdapat peserta-peserta yang jelas amat tetarik dan mengambil masa yang agak lama di sini memilih barang mengikut citarasa mereka, untuk dibeli. Walaupun masa tengahari telah agak lewat tetapi tarikan labu Sayong telah menyebabkan mereka yang ingin membeli dapat mengawal lapar dan dahaga. Entah berapa banyak labu yang didukung pulang pada hari berkenaan. Tentunya peniaga-peniaga gerai Labu Sayong di ini tersenyum kerana larisnya jualan labu-labu mereka.


Dari perkampungan labu Sayong, bas seterusnya menuju semula ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar untuk makan tenghari di Dataran Sg Perak. Setelah menjamu selera, peserta rombongan telah menaiki bas menuju ke Masjid Ubuddiah, bagi menunaikan solat. Lawatan ke Bandar Diraja Kuala Kangsar berakhir di sini. Setelah selesai solat, lebih kurang jam 3.00 petang bas yang membawa peserta rombongan bertolak balik ke Alor Star. .Dalam perjalanan balik bas telah singgah di Kawasan R&R Bukit Gantang untuk membolehkan peserta-peserta lawatan membeli buah-buahan yang diminati mereka. Rombongan ini tiba di Alor Star jam 5.00 petang.


Menganjur dan menyusun sesuatu lawatan sememangnya tidak mudah. Beberapa lawatan yang dicadang sebelum ini tidak menjadi. Lawatan ke Taiping dan Kuala Kangsar yang terpaksa ditangguhkan akhirnya dapat diadakan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan membantu bagi menjayakannya.



Cik Hjh Nasriah Maghribi
Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Asma

Tuesday, May 24, 2011

Lawatan Ke Taiping dan Kuala Kangsar

Inilah dimaklumkan bahawa Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SMSA bercadang membuat lawatan ke Taiping dan K. Kangsar. Ahli-ahli Persatuan dipelawa menyertai lawatan ini. Kita ada tempat untuk 35 orang peserta. Bayaran yang dikenakan ialah RM 100 untuk tambang bas dan penginapan.
Butir-butir penuh lawatan bolehlah dilihat dalam aturcara yang disertakan.
Sekian dimaklumkan.

Terima kasih.

Hjh. Nasriah Maghribi

24 June 2011- Jumaat

8.00 pagi - Bertolak dari Alor Star
10.00 pagi - Tiba di Kuala Ketil
Lawatan ke Showroom dan kilang Sweet Touch
11.00 pagi - Bertolak Ke Taiping
1.00 tghari- Tiba di Taiping
Check in di Sri Malaysia
Solat dan Rehat
3.30 ptg - Ziarah Puan Ooi Swee Lee (Bekas guru SAS)
4.30 ptg - Beredar dari rumah Puan Ooi
Makan Mee Udang
6.30 ptg Balik ke Sri Malaysia (Rehat/ Bebas)
(Bermalam di Taiping)

25 June 2011 - Sabtu

8.00 Pagi. Bertolak ke K. Kangsar
9.00 pagi Lawatan ke Galeri Raja Azlan
Lawatan Ke Muzium Di Raja
12.00 tghari Makan Tengahari
2.00 petang ke Pusat Kraftangan

4.00 petang Lawatan ke Kilang Kicap Tamin
5.00 ptg Bertolak balik ke Alor Star.

Nota:
Program ini adalah tentatif , tertakluk kepada perubahan jika perlu.
Bayaran RM 100 untuk Tambang bas dan Penginapan
Terbuka kepada semua ahli. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi:-

Cik Nasriah - 0193677116
Puan Rokiah- 013-4413400

Saturday, April 16, 2011

Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin

Persatuan dengan segala sukacitanya menjemput cik/puan ke majlis Bacaan Yassin dan Tahlil untuk rakan-rakan kita yang telah kembali ke rahmatullah. Majlis akan diadakan pada hari Sabtu, 23hb April 2011 pada jam 3 petang bertempat di Surau Al Falah, Taman Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah. Kehadiran ahli-ahli Persatuan amatlah dialu-alukan. Sekian. Terima Kasih.

Wednesday, March 9, 2011

Bantuan Bahan Bacaan Kepada Sekolah Dan Asrama


Sebagai langkah untuk membantu sekolah-sekolah menambahkan bahan-bahan bacaan di sekolah dan sekali gus menyemarakkan semangat membaca di kalangan pelajar-pelajar, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Perempuan Kg. Baharu/ Sekolah Menengah Sultanah Asma telah memutuskan untuk menyumbang buku-buku bacaan kepada Pusat Sumber sekolah dan asrama yang memerlukan.

Hasil daripada tinjauan yang dibuat, Jawatankuasa Persatuan telah memutuskan untuk menyumbang buku-buku bacaan kepada insitusi-institusi berikut:-


i. SRK Mergong
ii. SRK Tebengau
iii. Asrama Puteri, PERKIM Negeri Kedah


Sebelum buku-buku bacaan diberi kepada institusi yang dipilih, Persatuan telah berbincang dengan pihak sekolah bagi mendapatkan pandangan tentang judul-judul buku yang dihajati. Berdasarkan cadangan dari sekolah, buku-buku telah dipesan dan seterusnya dibekalkan kepada sekolah.


Di masa hadapan Persatuan berharap dapat menyumbangkan buku-buku bacaan kepada Pusat-Pusat Sumber sekolah-sekolah yang lain pula.




Wednesday, January 26, 2011

Notis Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar SMSA kali ke 21

Adalah dimaklumkan bahawa Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sultanah Asma akan mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke 21 pada hari Sabtu 26 Mac 2011 jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Sek. Men. Sultanah Asma.

Semua ahli persatuan di jemput hadir. Yang belum menjadi ahli boleh juga membuat pendaftaran pada hari tersebut. Kedatangan anda semua adalah dialu-alukan.

Friday, January 21, 2011

BERAMAL DI ASRAMA ANAK- ANAK YATIM PERKIM NEGERI KEDAH DARUL AMAN



Pada 14 Mei 2010 Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SM Sultanah Asma telah melaksanakan Program Klinik Sehari untuk penghuni asrama Anak-Anak Yatim PERKIM Negeri Kedah. Program ini melibatkan 22 orang pelajar puteri dan 40 orang pelajar putera. Program ini telah dikendalikan di Asrama Puteri Anak-Anak Yatim di Lorong Seri Jalan Langgar, Alor Star. di antara jam 8. 30 pagi- 12.00 tengahari.


Program Klinik Sehari yang dilaksanakan di Asrama Anak Yatim PERKIM agak berbeza daripada program yang dijalankan di lokasi-lokasi yang lain sebelum ini, dari segi aktivitinya.

Aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-

1. Ceramah mengenai Pemakanan.

Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr Fithriah bt. Mahadzir seorang bekas pelajar SM Sultanah Asma yang kini bertugas sebagai doktor di Hospital Sultanah Bahiyah

2. Ceramah mengenai penjagaan gigi.

Ceramah dan demonstrasi ini telah dikendalikan oleh Dr Azlina Adnan, juga seorang bekas pelajar SM Sultanah Asma. Setelah selesai ceramah ini , pelajar-pelajar telah dihadiahkan dengan berus gigi dan ubat gigi; sumbangan peribadi Dr Azlina. Pelajar-pelajar ternyata sungguh seronok menerima hadiah daripada Dr. Azlina.

3. Kempen mencuci tangan.

Bagi sesi ini, penghuni-penghuni asrama anak yatim telah dibahagi kepada beberapa kumpulan kecil untuk mengikuti tunjuk cara mencuci tangantangan yang betul. Doktor-doktor yang berkhidmat pada hari ini telah menekankan kepentingan mencuci tangan mengikut kaedah yang betul.

4. Pemeriksaan Kesihatan

Penghuni-penghuni asrama juga telah melalui pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubat percuma telah diberi kepada mereka yang memerlukan.

Program Klinik Sehari di Asrama Anak Yatim PERKIM telah dijayakan oleh 5 orang doktor, 2 orang jururawat dan 2 orang pegawai farmasi.Persatuan juga telah menyumbang sejumlah buku-buku bacaan untuk khutub khanah di Asrama Puteri. Program Klinik Sehari yang dijalankan di sini dilihat cukup relevan dan berfaedah kepada pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar menerima baik aktiviti yang telah dijalankan. Pemberian berus gigi, ubat gigi dan Vitamin C telah menceriakan mereka.