Sunday, August 28, 2011

Lawatan Ke Bandar Warisan Taiping dan Bandar Diraja Kuala Kangsar.



Alhamdulillah, lawatan ke Bandar Warisan Taiping dan Bandar Di Raja Kuala Kangsar dapat direalisasikan pada 24 dan 25hb Jun 2011. Lawatan ini merupakan aktiviti yang dijayakan bersama Majlis Perbandaran Sg. Petani. Seramai 27 orang Bekas Pelajar ASMA dan 24 orang staf MPSP telah menyertai lawatan ini. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sg. Petani kerana bersetuju membenarkan staf MPSP menyertai lawatan ini. Penyertaan staf MPSP telah meramaikan penyertaan dan menjalinkan jaringan perkenalan dan persahabatan di antara kedua-dua pihak.


Pada 24 Jun 2011 peserta-peserta lawatan Bekas Pelajar ASMA, seramai 27 orang telah bertolak dari perkarangan SMK Sultanah Asma pada jam 7.45 pagi dengan menaiki bas. Dalam perjalanan, bas telah singgah di Tol Sg. Petani Utara untuk mengambil staf MPSP. Setelah selesai urusan di sini, bas lawatan meneruskan perjalanan. Destinasi lawatan yang pertama ialah Kilang Sweet Touch di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah. Kilang ini membuat barang-barang tembikar. Rombongan yang tiba di sini kira2 jam 10.00 pagi telah disambut mesra oleh pengurusnya Puan Rohana Abd. Rahman. Peserta-peserta telah dibawa melihat aktiviti yang sedang berjalan dalam kilang dan diberi penerangan tentang proses menghasilkan barang-barang tembikar. Setelah mendengar taklimat peserta lawatan telah dibawa melihat barangan yang telah siap di ruang pameran dan jualan. Di sini peserta-peserta cukup teruja melihat kualiti barangan tembikar yang cukup cantik dan menarik serta halus perbuatannya. Oleh kerana cantik dan menarik, ramai di antara peserta lawatan yang membeli barang-barang yang diminati mereka sebagai cenderamata kenang-kenangan dan hadiah untuk rakan-rakan.




Lawatan di sini mengambil masa satu jam. Sebelum bertolak peserta lawatan telah diraikan dengan jamuan ringan. Di samping tertarik dengan barangan keluaran Sweet Touch, semangat dan keazaman Pengurusnya, Puan Rohana, sebagai seorang usahawan juga boleh menjadi pengajaran kepada peserta lawatan. Daripada ceritanya, kita dapati bagaimana ancaman kemelesetan ekonomi pertengahan tahun 80an telah dijadikan sebagai peluang untuk menceburi satu bidang yang hari ini telah menjadikannya sebagai seorang usahawan yang berjaya.







Dari Kuala Ketil, bas rombongan terus ke destinasi selanjutnya ia itu Taiping. Setelah lebih kurang 2 jam perjalanan, bas tiba di Bandar Warisan Taiping pada pukul 12.30 tengahari. Sesuai dengan ketikanya, perkara yang diberi keutamaan ialah makan tengahari. Lagi pun ketetapan telah dibuat supaya urusan makan tengahari diselesaikan sebelum daftar masuk di tempat penginapan. Setelah berfikir nak makan di mana, Restoran Asam Pedas menjadi pilihan. Semua kata makanan sedap dan menyelerakan, Selesai makan peserta lawatan menaiki bas semula untuk ke Taiping Golf Resort, tempat penginapan. Lega rasanya bila selesai pendaftaran di tempat penginapan. Setelah sekian lama berjuntai kaki, dapatlah belunjur pula, berehat menghilangkan letih sebelum meneruskan dengan aktiviti selanjutnya.



Pada jam 3 petang, seperti yang telah dijadualkan, peserta lawatan dari bekas pelajar ASMA, berkumpul di lobby Taiping Golf Resort untuk perjumpaan dengan seorang bekas guru SM Sultanah Asma ia itu Miss Ooi Swee Lee ( namanya seperti yang dikenali semasa bertugas di SM Sultanah Asma dalam tahun 60han). Ikut rancangan awal, bekas-bekas pelajar SMSA akan berkunjung ke rumah Miss Ooi, tetapi Miss Ooi telah memutuskan untuk datang bertemu dengan bekas pelajar di Taiping Golf Resort. Beliau memilih untuk berbuat demikian kerana katanya lebih mudah untuk beliau datang ke Taiping Golf Resort daripada pelajarnya pergi mencari rumahnya dengan bas. Teserlah sifat seorang guru yang perihatin dan sentiasa bertindak sebagai pemudahcara. Perjumpaan dengan Miss Ooi telah berlangsung selama lebih satu jam di Coffe House Taiping Golf Resort. Sambil meminum, sesi perjumpaan ini tentunya dipenuhi dengan berbagai cerita kenangan semasa Miss Ooi berkhidmat di SAS. Pertemuan ini memenuhi program alumni untuk menjejaki bekas-bekas guru SAS yang telah menabur bakti kepada SM Sultanah Asma di masa-masa lalu. Tentunya perjumpaan ini amat bermakna kepada mereka yang pernah menjadi murid kepada Miss Ooi. Buah manggis yang dibawa oleh Miss Ooi sebagai buah tangan untuk berjumpa dengan pelajar SM ASMA akan menjadi kenangan manis kepada mereka. Saya yakin Miss Ooi juga menghargai pertemuan ini. Perasaan beliau bolehlah disimpulkan daripada kenyataan berikut yang terbit dari mulutnya “You all made my day today".




Aktiviti lawatan seterusnya ialah kunjungan ke Kuala Sepetang atau nama lamanya Port Weld. Dalam sejarah kita kenali Port Weld kerana landasan keretapi pertama yang dibina di Tanah Melayu ialah di antara Taiping dan Port Weld. Tapi hari ini Kuala Sepetang dikaitkan dengan Mee Udang. Tentunya apabila sampai di Kuala Sepetang, peserta rombongan ingin merasa Mee Udang, yang gah diperkatakan. Tidak semua peserta lawatan memilih untuk makan mee udang. Sedap atau tak sedap adalah pendapat individu. Tapi bagi yang makan tentu akan setuju yang sepinggan mee udang cukup mengenyangkan kerana kuantitinya yang agak banyak. Malah ada peserta lawatan yang memberi sebahagian daripada mee udang dari pinggannya kepada pelanggan remaja yang ada di meja berhampiran. Selesai makan mee udang, bas rombongan bergerak balik ke Taiping.






Sebelum kembali ke tempat penginapan, peserta-peserta lawatan telah membuat lawatan ke Taiping Night Safari, salah satu tarikan pelancung di Bandar Taiping.. Bagi setengah peserta inilah kali pertama dapat berkunjung ke Night Safari, Apa pun ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Lawatan ke Night Safari mengakhiri program jadual lawatan hari pertama yang agak begitu padat dan meletihkan.


Pada 25 Jun 2011 sebelum meninggalkan Bandar Warisan Taiping, peserta-peserta lawatan telah bersarapan di Coffee House Taiping Golf Resort. Pelbagai pilihan makanan disediakan, Peserta-peserta lawatan puas hati dapat menikmati sarapan yang menyelerakan. Pada jam 8.30 pagi rombongan pelawat telah mengucapkan Selamat Tinggal kepada Taiping Golf Resort dan bertolak ke Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Setiba di Bandar Diraja Kuala Kangsar, tempat pertama yang dikunjungi ialah Galeri Sultan Azlan Shah. Bas rombongan tiba di Galeri Sultan Azlan Shah jam 9.30 pagi dan disambut oleh Pengurus Galeri, Puan Noorjanati Ibrahim.. Setelah taklimat ringkas di hadapan Galeri, peserta lawatan dibawa masuk ke dalam Galeri. Selama satu jam lebih Pengurus Galeri telah menghabis masa mengiringi peserta rombongan ke setiap ruang Galeri, memberi penerangan dan menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan sabar dan tenang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Noorjanati kerana melayan peserta-peserta lawatan dengan penuh mesra. Sebagai bekas guru kepada Puan Noorjanati, saya suka mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam menghadapi tugas di hari muka. Saya rasa amat bersyukur dan bahagia dapat bertemu dengannya yang kini sudah dewasa dan berjaya dalam kerjayanya.






Dari galeri Sultan Azlan Shah, bas yang membawa peserta lawatan telah bergerak ke Kilang Kicap Tamin yang terletak di Km 40 Jalan Ipoh. Di Kilang Kicap Tamin, peserta-peserta telah dibawa ke bangunan kilang dan diberi taklimat tentang proses membuat kicap oleh pegawai yang bertanggungjawab. Peserta-peserta juga diberi penerangan tentang penyediaan teowchew. Selesai mendengar taklimat peserta-peserta lawatan dapat pula melihat barang-barang keluaran Syarikat Tamin yang dipamerkan dalam sebuah bilik. Oleh kerana barang-barang ini juga boleh dibeli, peserta-peserta lawatan telah membeli barang seperti kicap dan barang-barang lain yang dikeluarkan oleh Kilang Kicap Tamin. Paling diminati oleh peserta lawatan ialah pek 3 botol kecil kicap yang comel, dengan 3 perasa untuk dibawa pulang . Oleh kerana permintaan yang tinggi, stok barang tidak mencukupi dan ramai juga peserta lawatan yang kecewa kerana tidak dapat membeli. Rupa-rupanya kicap pun boleh menarik minat.


Dari Kilang Kicap Tamin, bas telah bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ke perkampungan labu Sayong di Enggor. Aktiviti membuat labu Saiong dilakukan oleh oang-orang yang tinggal di sini. sebagai satu industri yang menjadi tarikan pelancong di Kuala Kangsar. Di sini peserta-peserta lawatan telah berpeluang melihat berbagai bentuk labu dan pelbagai saiz. Sudah tentunnya rupa bentuknya yang cantik dan menarik. telah menawan hati peserta lawatan untuk membeli. Tak hairanlah terdapat peserta-peserta yang jelas amat tetarik dan mengambil masa yang agak lama di sini memilih barang mengikut citarasa mereka, untuk dibeli. Walaupun masa tengahari telah agak lewat tetapi tarikan labu Sayong telah menyebabkan mereka yang ingin membeli dapat mengawal lapar dan dahaga. Entah berapa banyak labu yang didukung pulang pada hari berkenaan. Tentunya peniaga-peniaga gerai Labu Sayong di ini tersenyum kerana larisnya jualan labu-labu mereka.


Dari perkampungan labu Sayong, bas seterusnya menuju semula ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar untuk makan tenghari di Dataran Sg Perak. Setelah menjamu selera, peserta rombongan telah menaiki bas menuju ke Masjid Ubuddiah, bagi menunaikan solat. Lawatan ke Bandar Diraja Kuala Kangsar berakhir di sini. Setelah selesai solat, lebih kurang jam 3.00 petang bas yang membawa peserta rombongan bertolak balik ke Alor Star. .Dalam perjalanan balik bas telah singgah di Kawasan R&R Bukit Gantang untuk membolehkan peserta-peserta lawatan membeli buah-buahan yang diminati mereka. Rombongan ini tiba di Alor Star jam 5.00 petang.


Menganjur dan menyusun sesuatu lawatan sememangnya tidak mudah. Beberapa lawatan yang dicadang sebelum ini tidak menjadi. Lawatan ke Taiping dan Kuala Kangsar yang terpaksa ditangguhkan akhirnya dapat diadakan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan membantu bagi menjayakannya.



Cik Hjh Nasriah Maghribi
Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Asma