Monday, April 20, 2009

Objektif Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA

Mengikut Perlembagaan, antara objektif Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SM Sultanah Asma ialah:

1. Untuk menggalakkan persahabatan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli.

2. Untuk memberi bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dalam hal-hal meneruskan pengajian mereka dan pada umumnya untuk memajukan kepentingan dan kemajuan sekolah.

3. Untuk menggalakkan penyaluran kemudahan kepada kemajuan fizikal, intelek dan sosial ahli-ahlinya dan menggalakkan kesejahteraan ekonomi persatuan ini.

4. Untuk menggalakkan perhubungan serta persefahaman yang erat dengan
persatuan lain yang mempunyai matlamat dan tujuan yang sama,

Selaras dengan objektif di atas, Jawatankuasa Persatuan telah merancang dan melaksanakan beberapa aktiviti yang difikirkan sesuai dengan matlamat persatuan.

Untuk tujuan menggalakkan persahabatan dan perpaduan, aktiviti berikut telah dijalankan :-

i. mengadakan majlis-majlis reunion tahunan,
ii. mengadakan aktiviti dan majlis sambutan ulang tahun Sekolah Menengah SultanahAsma yang ke -75, ke -80 dan Sambutan 50 Tahun ASMA di Derga,
iii. menganjurkan rombongan belajar sambil melawat serta
iv. menziarahi bekas guru dan rakan-rakan pelajar.

Untuk kepentingan pendidikan, Persatuan telah memberi bantuan berupa:-

i. Tajaan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR.

ii. Bantuan kewangan yuran sekolah, yuran peperiksaan serta yuran pendaftaran IPTA.

iii. Hadiah wang tunai kepada pelajar cemerlang SPM.

iv. Bantuan wang tunai kepada 30 orang pelajar SMK Kota Kuala Muda yang terlibat dalam bencana tsunami.

v. Tajaan surat khabar NST di bawah ‘School Sponsorship Programme’ bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di SMK Mergong, SMK Jabi dan SMK Sanglang.

vi. Sumbangan wang kepada Pasukan Pancaragam SMKSA bagi membiayai kos pembelian alat-alat serta tambang perbelanjaan ke Itali dan Beijing.

vii. Sumbangan wang untuk menaik taraf Kafetaria Sekolah.


Selain aktiviti di atas, Persatuan telah mengambil inisiatif untuk bergerak secara aktif dalam aktiviti amal dan khidmat masyarakat seperti berikut:


i. Menjalankan khidmat masyarakat melalui Program Klinik Sehari yang melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubat percuma kapada penduduk di kawasan-kawasan PPRT di luar bandar. Aktiviti lain yang dijalankan di bawah program ini ialah pemeriksaan payu dara serta ujian pap smear. Sehingga kini, Program Klinik Sehari ini telah dilaksanakan di 45 kawasan PPRT di luar bandar.

ii. Memberi bantuan kewangan kepada mangsa bencana alam seperti banjir dan
tsunami.

Semua aktiviti di atas telah dapat dijayakan dengan bantuan kewangan dan sokongan moral daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan, bekas-bekas pelajar, dan agensi-agensi kerajaan yang tertentu.

Sesungguhnya program yang telah dilaksanakan oleh Persatuan telah memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dan terlibat secara langsung. Selain itu, aktiviti amal dan kebajikan di atas juga boleh dianggap sebagai peluang dan saluran kepada bekas-bekas pelajar Sekolah Menengah Sultanah Asma untuk menabur bakti kepada masyarakat serta alma mater yang telah banyak berjasa kepada kita semua. Ditinjau dari kedua-dua sudut ini, Persatuan berhasrat untuk meneruskan aktiviti yang telah dijalankan selama ini.

Untuk membiayai program kebajikan dan pendidikan secara berterusan, pihak Persatuan telah mewujudkan Tabung Kebajikan dan Pendidikan pada tahun 2006 bagi mengumpul dana supaya program amal persatuan dapat dibiayai. Sebagai salah satu langkah utama untuk mengisi Tabung Kebajikan dan Pendidikan ini, Persatuan bercadang untuk menghubungi bekas-bekas pelajar agar dapat menyumbang RM 10.00 seorang kepada Tabung ini. Sumbangan kepada Tabung ini juga sekali gus membuka peluang kepada bekas-bekas pelajar untuk turut terlibat dalam sumbangan bakti kepada masyarakat serta alma mater.

Oleh itu marilah kita sama-sama menyahut seruan Persatuan dan bermurah hati menyumbang RM 10.00 kepada Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Perempuan Kampong Baharu/ Sekolah Menengah Sultanah Asma. Semoga dengan sokongan padu daripada bekas-bekas pelajar, kita dapat mewujudkan satu dana Tabung yang kukuh untuk membiayai program kebajikan dan pendidikan demi kepentingan kebajikan dan pendidikan masyarakat.

No comments:

Post a Comment