Thursday, August 1, 2013

LAWATAN KE UNIVERSITI ANTARABANGSA AL-BUKHARY, ALOR SETAR, KEDAH.


Pada 14 Jun 2013, ahli-ahli Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA  telah melawat Kampus Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AIU) bertempat di Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.  Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti  yang dirancangkan oleh Persatuan Bekas Pelajar KBGS/ SMSA bagi tahun 2013.

Laporan Penuh Lawatan.

Rombongan persatuan  yang terdiri daripada 30 orang ahli diketuai oleh Pengerusi Persatuan, Dato’ Hajah Nasriah bt Haji Maghribi dan disertai  AJK Persatuan juga ahli biasa. Ketibaan ahli rombongan di Pintu Gerbang Utama Universiti  pada jam 9.30 pagi disambut oleh Ketua Keselamatan Universiti dan Pegawai Perhubungan Awam AIU, En. Mason Lim Khey Wei. Kami kemudiannya dibawa ke bangunan Dewan Konvokesyen yang tersergam indah di bahagian tengah kompleks pendidikan itu. Encik Mason seterusnya  mempersilakan semua ahli rombongan bergerak ke Makmal Komputer yang serba lengkap  untuk  mengikuti taklimat  mengenai makmal tersebut serta atur cara lawatan pada hari itu.

Selesai taklimat  kami diiring ke bangunan empat tingkat Perpustakaan  yang sungguh cantik  dari segi senibinanya terutama di bahagian kubah perpustakaan. Di sini kami diberi taklimat oleh Pegawai Perpustakaan, En. Hasbullah bin Atan. Menurut beliau, senibina perpustakaan ini adalah mengikut konsep Islam dan mirip kepada senibina negara-negara Asia Tengah. Namun  perpustakaan yang dihias indah dengan  lukisan-lukisan antik serta lukisan sumbangan beberapa orang individu  ini masih dalam proses memperbanyakkan lagi buku-buku rujukan untuk pelajar.

Kami  kemudiannya  diminta ke tempat  penempatan pelajar lelaki dan perempuan serta kawasan-kawasan yang berhampiran untuk menikmati panorama universiti saperti tasik buatan dan Dewan Pelbagai Guna. Sesuatu yang unik dapat diperhatikan di sini ialah  AIU dipenuhi dengan pohon-pohon kurma yang rendang dan persekitarannya sungguh aman dan damai, sangat kondusif sebagai tempat menuntut ilmu.

Masa begitu pantas berlalu. Tanpa kami sedari, En Mason seterusnya mengiringi kami ke lokasi terakhir lawatan iaitu ke  Auditorium Utama universiti. Di sini kami diberi taklimat oleh Pn Norpisah bt Mat Isa, Pegawai Pendaftar, Kemasukan dan Rekod. Beliau menerangkan dengan terperinci berkaitan dengan Visi dan Misi Universiti serta kursus-kursus yang ditawarkan di sini. Akhir sekali, dalam sesi soal jawab antara peserta rombongan dengan Pn. Norpisah, beliau  menjelaskan lagi tentang peranan dan kepentingan AIU kepada pelajar-pelajar dan masyarakat setempat.

Pada jam 12.30 tengah hari  kami bersalaman dan bergambar kenangan sebelum bersurai dengan perasaan gembira dan terharu tentang betapa ramainya antara kita yang tidak menyedari bahawa di belakang Kompleks Souq Bukhary ada sebuah universiti yang canggih dan tersergam indah serta sangat hampir dengan tempat tinggal kita.
Untuk faedah rakan-rakan yang belum sempat membuat lawatan ke AL Bukhary International University,  berikut disertakan  beberapa maklumat mengenai  universiti ini:-

1)  Logo AIU berkonsepkan warna biru dan hijau mewakili langit dan bumi. Ini bertepatan dengan prinsip universiti yang berasaskan kepada ‘Ketaatan kepada Tuhan dan Peradaban Kemanusiaan.

2) Tan Sri Dato’Seri Syed Mokhtar AlBukhary merupakan Pengerusi  AlBukhary Foundation and AIU  manakala Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak adalah Naib Canselor  AIU.

3) AIU merupakan universiti wakaf, bermaksud pelajar tidak perlu membayar  yuran pengajian, penempatan dan sajian makanan. Populasi pelajar meliputi 80%  pelaiar luar negara  ( 54 buah negara seluruh dunia dan 20 % pelajar Malaysia).  Selain itu AIU juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pembelajaran yang canggih dan kondusif saperti ‘state-of-the-art ‘ Makmal Komputer, Perpustakaan, Auditorium Utama, Dewan Kuliah, Kafeteria, Kompleks Sukan, Penempatan Pelajar serta Penempatan Pensyarah dan Staf.

4)  Kursus-kursus yang di tawarkan di AIU ialah Pengajian Asasi (Foundation Studies), Pengajian Perniagaan dan Pengajian Teknologi Maklumat dan Komunikasi.  Untuk keterangan lanjut, sila layari Laman Web. www.aiu.edu.my


Laporan di sediakan oleh :

Pn Hjh Nooraini bt Othman.







No comments:

Post a Comment